Monday, November 25, 2013

Juadah : Bubur Nasi

Hari nie Annaz masak bubur nasi untuk makan malam. Sekarang nie tinggal berdua jer dengan incik hubby. Anak kat kampung sebab cuti sekolah. Jadinya Annaz masak bubur nasi jer untuk makan malam kami berdua...



So, inilah antaranya:-

Bubur nasi kosong (tanpa garam dan perencah)


Sayur kangkung (tak kisahlah kangkung goreng belacan atau kangkung ikan masin. Ikut citarasa korang la ye)


Lobak masin dipotong dadu dan digoreng
Telur asin
Kacang dan ikan bilis digoreng



Kalau ada kesempatan, korang cubalah ye...




Monday, November 18, 2013

Ikan Yu Goreng Tepung

Macam pelik pulak nak tulis tajuk entry nie. Tapi memang itu resepinya. Ada member cakap ikan yu nie bagus utk budak2. Pas tu ada nyonya kat pasar cakap ikan yu yang kecik2 sedap digoreng dengan tepung. Ini kali kedua Annaz masak ikan nie..


Annaz pilih ikan yu yang kecil2 jer dan suruh siang sekali. Balik rumah, ikan yu tadi tu potong kecil2 dan cuci bersih. Lepas tu celup dengan telur dan salut dengan tepung kentucky dan goreng hingga kekuningan. 

Sedap rupanya. Korang cubalah ye..

Sunday, October 27, 2013

Resepi Masak Lemak Labu Paling Ringkas

Bahan-bahannya


1/2 biji labu kuning dipotong dadu
Santan..pakai yang kotak jer lagi mudah
Ikan bilis
2 biji bawang merah
Garam secukup rasa

Cara memasak

1. Blender bawang merah bersama ikan bilis. Masukkan ke dalam periuk bersama labu dan sedikit air. Rebus dahulu hingga labu agak empuk.
2. Masukkan santan dan garam. Kacau supaya santan tidak berketul.
3. Bila dah masak angkat dan hidangkan bersama nasi panas, ikan masin dan sambal gesek (cili api yang ditumbuk bersama ikan bilis serta diperah limau kasturi)

Hasilnya



p/s : Boleh juga ditambah daun kunyit yang disiat-siat supaya lebih harum..


Monday, October 21, 2013

Pengat Labu


Bahan-bahan

1/2 biji labu dipotong dadu
1/2 kotak santan (kotak sedang)
Gula secukupnya (Annaz guna gula perang)
Secubit garam
Sehelai daun pandan
Air secukupnya

Cara memasak

1. Masukkan labu yang telah dipotong dadu ke dalam periuk. Tambahkan sedikit air dan masak hingga lembut.
2. Bila dah lembut, masukkan gula dan daun pandan.
3. Masukkan santan dan secubit garam. Kacau supaya santan tidak berketul.
4. Dah masak, angkat dan hidangkan.

Dah lama tak makan pengat labu, tu yang buat tu. 
Sampailah hajat nak makan pengat labu.

Monday, October 7, 2013

Telur masak kicap


Telur masak kicap adalah masakan paling senang dan mudah disediakan. Seperti hari ini, Annaz tak planning pun nak masak. Tapi disebabkan tetiba jer ada permintaan dari anak, terpaksa gak masak. Paling ringkas dan senang adalah telur masak kicap.

Annaz tak suka berkuahkan kicap dan minyak seperti ada sesetengah masak kicap tu. Incik hubby pun memang suruh kurangkan minyak dalam masakan. Jadi beginilah cara Annaz sediakan telur masak kicap tu..

Bahan-bahan

3 biji telur goreng mata kerbau
Cili api ikut citarasa kepedasannya
1 biji bawang putih
1 biji bawang besar
1inci halia
Kicap pekat manis secukupnya
Asam keping - jangan banyak, nanti masam
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Garam secukupnya

Cara menyediakannya

1. Racik bawang putih, halia dan cili api.
2. Bawang besar diracik ikut citarasa.
3. Tumis bawang putih, halia dan cili api hingga naik bau.
4. Masukkan bawang besar dan tumis hingga separuh masak dan masukkan kicap dan   asam keping.
5. Masukkan air. Perasakan garam secukupnya.
6. Bila dah masak, tuang jer atas telur mata kerbau tadi..

Senangkan.. Makan dulu la ye...





Thursday, July 25, 2013

Bubur Cha Cha Jagung Manis



Di bulan puasa nie, macam-macam bubur beraneka warna dan rasa yang membangkitkan selera untuk dijadikan pemanis mulut ketika berbuka. Salah satunya yang popular, Bubur Cha Cha.

Tambahan bahan-bahan dalam masakan terutamanya bubur, menambahkan lagi keenakan dan variasi rasa..Di sini Annaz nak kongsi resepi bubur cha cha.

Bahan-bahannya :-

2 cawan biji cha cha
400 ml santan
100 gm gula merah
1/2 cawan gula pasir
2 helai daun pandan
1/2 tin jagung manis (dalam tin)
Sedikit biji sagu mata ikan

Cara Membuatnya :-

  1. Rebus biji cha cha sehingga lembut.
  2. Kemudian masukkan daun pandan, santan, gula merah, gula pasir dan jagung manis.
  3. Bila mendidih, masukkan biji sagu mata ikan.
  4. Kacau bahan tersebut hingga rata dan mendidih.
Selamat mencuba..


Tuesday, July 23, 2013

Ayam Goreng Kunyit Daun Kari

Hari nie Annaz nak tunaikan permintaan anak yang sedang berpuasa. Nie gara-gara resepi yang dia download kat tab dia. Macam-macam resepi yang dia download tapi hari nie dia mintak buatkan Ayam Goreng Kunyit Daun Kari. Suruh buat 7 ketul ayam...wah..wah..wah..betul-betul ikut resepi nampaknya...


Nie la rupanya Ayam Goreng Kunyit Daun Kari tu...

Bahan-bahan untuk memasak ayam nie..

7 ketul ayam..tak kisah bahagian mana pun

Bahan perap

2 inci kunyit hidup
3 ulas bawang putih
garam secukupnya
sedikit gula
sebiji limau kasturi diambil airnya

2 ulas bawang putih diracik halus
1 biji bawang besar saiz sederhana diracik
2 tangkai daun kari
1 camca teh jintan manis
1 biji cili merah diracik
1 biji cili hijau diracik

Cara membuatnya.

1. Kunyit dan bawang putih ditumbuk halus. Gaul dengan ayam dicampur dengan garam, gula dan air perahan limau kasturi. Perap selama 2-3 jam.
2. Goreng ayam yang telah diperap hingga masak.
3. Tumis bawang putih, jintan manis, daun kari, bawang besar, cili hijau dan cili merah. Kemudian curah di atas ayam yang telah digoreng.
4. Hidangkan dengan nasi panas.

Sungguh berselera anak Annaz menikmati lauk permintaannya. Lebih-lebih lagi time berbuka puasa.


Saturday, June 29, 2013

Udang Goreng Mentega

Salam semua...


Ini adalah kali pertama Annaz cuba buat sendiri udang gorang mentega nie. Alhamdulillah, menjadi juga..Dah lama teringin nak makan udang goreng mentega yang dimasak sendiri tapi tak confident nak buat.


So, Annaz nak berkongsi cara nak masak udang goreng mentega. Mungkin ada yang memang tip top dalam menyediakannya tapi Annaz nak syer pada yang belum mencubanya..

Bahan-bahan

20 ekor udang sebesar ibu jari
sedikit kunyit
Garam secukupnya
Serbuk lada sulah
Serbuk lada hitam
Sedikit cili api diraciksedikit daun kari
3 sudu besar mentega
3 biji kuning telur
Minyak masak

Cara Memasak

1. Gaul udang bersama garam, kunyit, serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam. Goreng hingga masak. Masukkan cili api dan daun kari dan gaul seketika. Angkat dan toskan.

2. Pukul kuning telur. Campurkan sedikit putih sebab kuning telur tu agak pekat.

3. Panaskan minyak masak dalam 1/2 cawan dicampur dengan mentega. Tunggu hingga mentega cair.

4. Tuang kuning telur tadi ke dalam kuali dengan menggunakan tuang roti jala. Buat macam nak buat roti jala manakala sebelah tangan lagi kacau guna garfu. Tutup api jika minyak terlalu panas.

5. Bila telur tu dah jadi jaring-jaring, hidupkan semula api supaya telur tersebut masak garing. Gunakan minyak yang banyak sebab kalau minyak terlalu sikit telur tu tak jadi jaring-jaring.

6. Bila dah garing, angkat jaring-jaring telur tu dan toskan untuk membuang lebihan minyak.

7. Tabur telur tersebut di atas udang. Hidangkan sebagai juadah yang menyelerakan.

Selamat mencuba



Wednesday, May 22, 2013

Puding Laici

Sekarang nie sibuk anak-anak nak sambut hari guru. Bila ada jamuan, mak-mak semua sibuk la siapkan makanan untuk dibawa anak memasing ke sekolah. Tapi budak-budak sekarang, permintaannya...yang amat dahsyat lah...

Annaz pun tak terlepas mengalami situasi ini. Nak bawa makanan lah..nak bawak hadiah lah..time cenggini lah nak bagi anak-anak kita happy.

Untuk memenuhi permintaan si manja, Annaz sediakan puding laici untuk jamuan sempena sambutan hari guru di sekolah KAFA. Namun tetiba jer dia nak bawak mee goreng..alamak..puding bebanyak nie sapa nak makan..

Jadinya, incik hubby yang bawak pergi opis dia sebab ada jamuan perpisahan. Incik hubby kata ada jugak lah yang mengeluh sebab tak dapat nak rasa puding laici yang Annaz buat. Lain kali lah Annaz buat untuk korang, ye..

Kali kedua Annaz buat puding laici nie untuk jamuan hari jadi untuk kawan Annaz kat opis. Seronok dapat menghidangkan sesuatu untuk majlis-majlis sebegini...

Di sini Annaz nak syer dengan u all cara nak membuat puding laici nie. Sapa yang ada kelapangan, bolehlah try..senang jer..


Bahan-bahannya

13g agar-agar serbuk
1 1/2 cawan gula
5 cawan air
2 tin susu cair
2 tin laici diasingkan airnya

Cara Membuatnya

  1. Satukan agar-agar serbuk dan gula dalam periuk yang kering. Kacau supaya agar-agar sebati dengan gula supaya tidak berketul-ketul bila dimasukkan air.
  2. Masukkan air yang telah disukat dan masak di atas api yang sederhana.
  3. Kemudian masukkan air laici yang telah diasingkan tadi. Masak hingga mendidih.
  4. Masukkan susu cair dan masak hingga mendidih dengan sempurna.
  5. Sementara itu, isi laici tadi di belah-belah dan dimasukkan ke dalam acuan atau bekas yang disediakan.
  6. Apabila kuah telah masak, tuang ke dalam acuan atau bekas yang telah diisi dengan isi laici tadi.
  7. Sejukkan sebelum dihidangkan.
Ok, kawan-kawan..selamat mencuba..hasilnya pasti memuaskan...

Monday, May 13, 2013

Popia goreng yang rangup dan sedap

Buat pertama kalinya Annaz menyediakan popia goreng ini untuk juadah minum petang...poyo jer...Bukan apa, adakalanya first time mencuba sesuatu yang baru kekonfidenan tu agak kureng skit..bila dah menjadi, legaaa....


Selalunya Annaz buat popia nie guna inti kentang. Popia inti sayur belum pernah cuba lagi. Walaupun pertama kali mencuba, incik hubby dan anak kata sedappp...Sempat juga diberi kepada jiran depan rumah. Harap dia pun suka gak la popia yang Annaz bagi tu...

Bila dan menjadi dan komennya memberangsangkan, Annaz nak syer resepinya di sini...

Bahan-bahannya :-

Kulit popia
Isi ayam yang dipotong kecil-kecil
Bawang besar yang dipotong dadu
Lobah merah dan sengkuang di potong memanjang (jejari halus)
Taugeh
Garam
Minyak untuk menumis

Cara Membuatnya :-

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar hingga naik bau.
  2. Masukkan isi ayam dan tumis hingga masak.
  3. Masukkan lobak merah, sengkuang dan taugeh.
  4. Masukkan garam.
  5. Jangan masak terlalu lama sebab kalau sayur tu lecur sangat tak sedap.
  6. Angkat dan bolehlah digulung dengan kulit popia.
  7. Goreng popia yang siap digulung hingga kekuningan.
  8. Bila dah masak, bolehlah dihidangkan dengan sos pencicah yang sesuai.
 Kalau ada masa terluang, korang cubalah buat sendiri.
Hasilnya pasti memuaskan.






Sunday, April 28, 2013

Jem Strawberry Yang Ringkas dan Sedap...

Badan masih penat coz baru balik dari mandi-manda di PD. Petang-petang hari pulak nak siapkan juada makan malam. Dalam peti ais tu ada buah strawberry pemberian adik 2 minggu sudah. Tak berusik lagi. Lagi pun masa dia hantar, buah strawberry tu dah ada yang lembik.

Nak dimakan dah tak sedap. Nak dibuang sayang. Pilih punya pilih, ada la dalam 20 biji jer yang masih agak elok lagi. Nak tau apa yang Annaz buat dengan strawberry tu?


  1. Blender buah strawberry tu.
  2. Masuk dalam kuali, campur gula pasir. Gula tu agak-agak la. Kalau banyak takut manis sangat pulak.
  3. Pas tu, kacau atas api yang sederhana sampai pekat. Angkat dan sejukkan.

Bolehlah dimakan bersama roti, biskut dan apa jer yang sesuai...

Selamat mencuba...

Thursday, April 25, 2013

Roti Telur Cili Bawang...

Kali nie Annaz nak syer resepi roti telur cili bawang. Bukan lah macam kat kedai mamak tu, ok...Selain untuk santapan di pagi hari, boleh juga dinikmati dalam keadaan bersantai...


Nak menyediakannya senang jer. Bahan-bahannya adalah :-

4 keping roti
3 biji telur
1/2 biji bawang besar -diracik
5 biji cili api -diracik
Secubit garam


Cara nak buat pun senang :-


  1. Pukul telur bersama bawang dan cili api. Letak garam secukupnya.
  2. Celupkan roti dalam telur tadi dan goreng.
  3. Hidangkan untuk sarapan pagi dan masa korang bersantai..
Senang kan? Apa tunggu lagi, jom masak..

Wednesday, April 24, 2013

Sambal Terung Berkicap

Sambal terung berkicap nie adalah peberet incik hubby. Digandingkan dengan ikan goreng. Tak kisahlah apa pun ikannya, pasti membuka selera..



Bahan-bahannya :-

1 biji terung cina - kalau panjang lah saiznya
Cili api - ikut kepedasan
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Sedikit ikan bilis
Kicap
Garam dan serbuk perasa secukupnya

Cara Memasak :-

  1. Blender cili api, bawang putih, bawang merah dan ikan bilis. 
  2. Tumis bahan yang diblender hingga naik bau.
  3. Masukkan terung yang telah dipotong dan dibersihkan. Masak hingga separuh masak.
  4. Masukkan kicap ikut citarasa.
  5. Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.
  6. Bila dah masak, hidangkan sebagai juadah pembuka selera...



Wednesday, April 17, 2013

Ikan Cencaru Belah Belakang

Agak lama juga tak menjamah isi ikan cencaru. Tetiba jer teringin sangat...Opss..bukan mengidam tau...

Teruja untuk mencuba untuk masak ikan cencaru belah belakang nie..jom masak..


Bahannya :-

2 ekor ikan cencaru
6 biji cili merah
3 ulas bawang merah
2 batang serai - diracik
1 biji tomato
Sedikit belacan
Garam dan gula secukupnya

Cara Memasak :-

  1. Ikan cencaru dibersihkan dan dibelah belakangnya. Boleh juga diperap bersama garam dan serbuk kunyit.
  2. Blender cili merah, bawang merah, serai, tomato, belacan, garam dan gula.
  3. Sumbat belakang ikan dengan bahan yang telah diblender. Isi di perutnya pun boleh. Boleh juga diikat dengan benang untuk mengelakkan isinya keluar.
  4. Goreng ikan hingga masak dan bolehlah dihidangkan.
Senangkan? Apa lagi...jom masak.

Tuesday, April 16, 2013

Puding Roti Kukus yang mudah dan best

Tetiba jer teringin nak cuba sesuatu yang tak pernah buat...poyo jer...Periuk kukus dah lama sanat tergantung kat dapur. Sejak beli tak pernah guna. Cantik lagi...hehehe...

Terbuka hati nak try buat puding roti.  Search kat internet jer resepinya. Mudah-mudahan menjadi.

Walau pun first time buat, Annaz tetap nak syer resepinya di sini. Jom kita sama-sama mencuba...

Bahannya :-

4 keping roti
1 tin susu cair (375 ml)
2 biji telur
4 sudu gula
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar butter ( planta pun boleh)
Sedikit kismis

Cara Membuatnya :-


  1. Telur, gula dan esen vanilla dipukul bersama. Kemudian campurkan susu cair.
  2. Roti dipotong empat dan disapu dengan mentega. Susun dalam loyang.
  3. Kemudian tuangkan bahan yang dipukul tadi dan taburkan kismis.
  4. Kukus puding tadi lebih kurang 20 hingga 25 minit.
  5. Bila dah masak, sejukkan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Hasilnya...


Yang paling membanggakan, incik hubby kata sedap. Walaupun pertama kali buat, hasilnya tidak mengecewakan..

Wednesday, February 6, 2013

Tomato muda belacan


Tomato muda belacan nie ala-ala kerabu gak. Penyediaannya simple tetapi mampu membuka selera. Jom try resepinya.

Bahan-bahan

2 biji tomato muda (hijau) -dihiris sederhana nipis
1 labu bawang besar - dihiris
10 biji cili api diracik
belacan secukupnya - dibakar terlebih dahulu
Sedikit air suam
sedikit serbuk perasa

Cara membuatnya

  1. Belacan yang telah dibakar dicampur dengan air suam dan lenyek hingga hancur menjadi kuah.
  2. Masukkan serbuk perasa, tomato, bawang besar dan cili api. Gaulkan supaya semua bahan yang diracik bersatu dengan air belacan.
  3. Sedia dihidangkan sebagai pembuka selera.

Gulai ayam dengan pegaga


Hari-hari memasak, sampai dah tak tau nak masak apa lagi. Bagi menghilangkan kebuntuan itu, Annaz nak kongsi resepi nie, Gulai Ayam campur daun pegaga. Walaupun ramai yang tau masak lauk nie, tapi sekadar bagi idea untuk juadah hari ini.

Bahan-Bahan

2 ikat daun pegaga - siang dan bersihkan
1/2 ekor ayam - potong ikut citarasa sendiri
segenggam cili api - ikut rasa
1 inci kunyit hidup
1 keping asam keping
santan
garam

Cara Memasak
  1. Cili api dan kunyit di kisar.
  2. Masukkan ayam dan kunyit serta cili api yang telah dikisar ke dalam periuk. Masakkan terlebih dahulu. Masukkan asam keping dan garam secukup rasa.
  3. Masukkan sayur pegaga. Biarkan sekejap dan masukkan santan.
  4. Masak hingga mendidih. sentiasa kacau supaya santan tidak berketul-ketul.
  5. Sedia untuk dihidangkan.