Thursday, August 7, 2014

Mee Rebus Johor (Resepi Mee Rebus Hj Wahid)

Sudah lama benar tak merasa makan mee rebus. Selalunya kalau balik kampung, kami akan ke kedai bapa saudara untuk sarapan pagi. Kalau nasib menyebelahi, dapatlah merasa mee rebus buatannya. Tapi beliau jarang masak mee rebus nie.

Susah-susah sangat, timbullah idea untuk masak sendiri jer mee rebus. Puas hati. Makan la sampai puas. Nak kata reti masak tu jauh sekali sebab tak pernah pun masak mee rebus. Jalan penyelesaiannya, mintalah pertolongan dari Mr/Mrs Google.

So, resepi yang paling menarik hati yang menjadi pilihan untuk dicuba ialah dari Blog Cik Matahari iaitu resepi Mee Rebus Johor (Resepi Mee Rebus Hj Wahid). Kelainan mee rebus nie dari yang pernah Annaz makan ialah ianya dihidangkan bersama tepung udang kering yang rangup dan sedap..



Bahan-bahannya

2 kg mee kuning -dicelur
1/2 kg daging - dihiris halus, ataupun guna daging tetel
4 biji keledek - direbus dan kisar
1 cawan taucu - dicuci dan dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
3 biji bawang merah - dikisar
1 inci halia - dikisar
1/2 cawan udang kering - dikisar
3 batang serai - dititik
1 inci lengkuas - dititik
5 sudu makan rempah kari daging - Annaz guna 2 peket rempah yang kecil
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
Minyak untuk menumis

Taburan Tepung Udang Kering

1/2 cawan udang kering - dikisar
80 gram tepung gandum
1/4 camt serbuk kunyit
Garam
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan Untuk Hiasan

Tauhu - digoreng dan potong kecil-kecil
Daun sup, daun bawang - dimayang resepi asal letak daun sup je tp Annaz saje tambah daun bawang)
Bawang goreng
Telur rebus - dibelah dua
Lada hijau - potong bulat
Taugeh - dicelur
Limau kasturi - dibelah dua

Cara-cara menyediakannya Mee Rebus Johor Hj Wahid

Tepung Udang Kering

Campurkan semua bahan dan gaul rata. Cara nak menggoreng tepung nie dengan merenjis-renjis pada minyak. Goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Minyak yang digunakan untuk menggoreng tepung udang kering nie kena banyak tau..

Kuah Mee Rebus

  • Panaskan minyak dalam periuk. Tumis serai dan lengkuas yang telah dititik.
  • Masukkan bawang putih, bawang merah, halia dan udang kering yang dikisar tadi. Tumis hingga naik bau.
  • Masukkan rempah kari dan kacau rata.
  • Kemudian masukkan taucu dan keledek yang telah dikisar bersama dengan daging. (Peringatan : semasa nak kisar keledek dan taucu, kita letak air supaya senang dikisar) jadi tak payah tambah air, bimbang kuahnya tak pekat. Tapi kalau pekat sangat boleh la nak tambah sikit air.
  • Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.

Cara Menghidangkannya

Hidangkan mee yang telah dicelur bersama taugeh. Tuangkan kuahnya dan hiaskan bersama tauhu goreng, daup sup, daun bawang, bawang goreng, telur rebus, lada hijau, limau kasturi dan juga tepung udang kering.

Selamat Mencuba..





2 comments:

  1. Memang kegemaran sy mee rebus johor ni..dan seharusnya memang sy akan cuba resepi ni..Tq for the info

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun cari resepi kat google. Bila ada kelapangan say try masak..

      Delete